YBhg. Dato' Parang Abai @Thomas, Timbalan Ketua Pengarah (PSE) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) hari ini telah memenuhi undangan ke Program Prihatin UAC: Majlis Penyerahan Bantuan CSR ARBA Foundation kepada Peserta IBMT di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL). Dalam majlis ini, pihak ARBA Foundation telah menyerahkan bantuan barangan asas dan tunai kepada peserta iBMT dari beberapa lokaliti di WPKL antaranya PPR Desa Rejang, PPR Kampung Muhibbah dan PPR Taman Mulia.
Program iBMT yang merupakan program kelolaan Kementerian Ekonomi dan salah satu inisiatif di bawah Upaya@PUJI ini telah menjadi platform terbaik kepada para peserta untuk meningkatkan kemahiran diri, mempelajari ilmu yang bermanfaat bagi tujuan menjana pendapatan secara kendiri sehingga akhirnya berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan.
Ada antara peserta iBMT yang telah mampu meraih pendapatan sehingga RM15,000 sebulan, malah mampu menggajikan pekerja sendiri dan meluaskan pasaran produknya ke serata tempat.
Dalam majlis ini juga, JWP berpeluang untuk menyantuni peserta dan mendalami permasalahan dan isu berbangkit melalui sesi soal jawab bersama YBhg. Dato' Thomas.
JWP komited untuk membantu memudahcara dalam menyelesaikan isu yang telah dibangkitkan dengan mengusulkan beberapa cadangan penyelesaian yang bersesuaian.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg Dato' Seri Mustapa bin Mohamed, Penasihat Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, Universiti Malaya (UAC UM); YBhg. Profesor Datin Sri Dr.Suhaiza Hanim binti Dato Mohamad Zailani, Pengarah, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, UM; YBrs. Ustaz Azlan Shah bin Nabees Khan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), ARBA Foundation dan Encik Humfrey J Suimin, Wakil daripada Kementerian Ekonomi.