MISI PERTAMA WILAYAH PERSEKUTUAN BERSAMA SABAH
23 September 2025
YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa tangkas menyahut seruan YAB Perdana Menteri tempoh hari untuk menggerakkan jentera bantuan ke Sabah bagi membantu rakyat yang terjejas susulan banjir yang berlaku dengan melancarkan Misi Pasca Banjir Wilayah Persekutuan Bersama Sabah.
Seramai 80 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Perbadanan Labuan (PL), Perbadanan Putrajaya dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian WP Labuan termasuklah YBhg. Datuk Seri Noridah Abdul Rahim, Ketua Pengarah JWP dan YBrs. Encik Mohd Sukuran Taib, Ketua Pegawai Eksekutif PL turun membantu aktiviti-aktiviti pembersihan di SK St. Patrick dan Tadika Pei You di Membakut, Sabah hari ini bagi misi pertama pasca banjir.
Sumbangan berupa barangan keperluan harian turut diberikan di Pusat Kawalan Operasi Bencana Membakut untuk diagihkan kepada penduduk terjejas.
Usaha pemulihan pasca banjir ini diharapkan dapat menjadi jambatan kasih yang mencerminkan semangat solidariti Wilayah Persekutuan dan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia demi meringankan beban mereka yang terjejas di Sabah.